Wednesday, June 26, 2013

Khasiat rebusan asam gelugur

Ada wanita mengamalkan minum air asam gelugur semasa berpantang dipercayai untuk mempercepatkan proses mengecutkan rahim. Selain itu amalan tersebut juga dikatakan mampu menurunkan berat badan.

Ternyata asam gelugur atau nama botaninya garcinia cambogia menawarkan banyak khasiat baik dari sudut perubatan mahu pun sebagai penyedap makanan.

Khasiat asam keping

Berwarna kekuningan dan berbentuk seakan buah labu, tumbuhan yang berasal dari India itu turut dikenali dengan nama asam keping setelah buahnya dikeringkan.

Selain itu asam gelugur dipanggil juga malabar tamarind dan brindle berry kini digunakan secara meluas untuk produk mengurangkan berat badan di Eropah.

Asid utama asid hydroxycitric atau HCA. di dalam asam gelugur pernah menjadi kajian saintis pemakanan. Terbukti ia sangat berkesan membantu mengekang nafsu makan dan menggalakkan penguraian lemak dalam tubuh manusia dan haiwan. Rangsangan kehilangan berat badan menerusi dua cara asas.

HCA bertindak menghalang penukaran makanan bergula dan berkanji kepada lemak. Ini bermakna HCA dikatakan dipercayai mampu membantu menyekat penghasilan lemak.

Penemuan terbaru mendapati melalui cara peningkatan tahap kimia tertentu dalam otak seperti serotonin, pengatur kepada pengawalan selera, HCA juga dikatakan mungkin mampu menyekat selera makan.

Penggunaan asam gelugur juga mendapat tempat dalam perubatan India kuno (Ayurveda) bagi mengatasi masalah penghadaman, rawatan cacing, parasit, tumor dan cirit-birit berdarah.

Buah asam gelugur yang sudah masak berwarna kuning selalunya dihiris, dikering dan digunakan dalam masakan. Ia juga direbus dalam gula dan dimakan sebagai jeruk.

Air rebusan kulit buah asam gelugur juga dikatakan mampu digunakan untuk merawat reumatisme dan masalah dalam perut. Selain itu buah tersebut dikatakan berupaya mengurangkan tekanan darah tinggi.

Perubatan Melayu zaman dahulu menggunakan rebusan air daun dan akar asam gelugur untuk menyembuhkan sakit telinga melalui titisan ke dalam telinga.

Buah asam gelugur juga dikatakan mampu melegakan kesakitan gusi. Caranya adalah dengan mengambil sekeping asam gelugur dan kemudian basuh hingga bersih sehingga menjadi sedikit lembut. Tampal atau selitkan di celah-celah antara gusi dan bahagian pipi selama 10 hingga 15 minit. Kemudian kumur dengan air suam.

Friday, June 21, 2013

Kanser Payudara

Sejenis penyakit di mana sel-sel yang tidak normal membiak sehingga terbentuknya satu benjolan tisu yang digelar tumor.

Sel-sel kanser akan merebak ke kelenjar limfa, masuk ke dalam paru-paru. Seterusnya ia menuju ke bahagian sebelah payudara, masuk ke tulang yang mengakibatkan tulang patah.

Ia bergerak ke bahagian tulang punggung, paha dan masuk ke dalam hati menjadikan bengkak, (jaundis) dan hingga ke peringkat akhir ke bahagian otak; pesakit akan menjadi koma.
Jenis-jenis atau Punca Penyakit
1. Umur/usia yang meningkat
2. Kedudukan geografi
3. Baligh sebelum usia 12 tahun
4. Menopaus selepas usia 50 tahun
5. Tidak melahirkan anak selepas usia 30 tahun
6. Keturunan
7. Pernah mengalami bengkak pada payudara (fibrocystic disease)
8. Pernah menghidap kanser payudara
9. Banyak minum alkohol dan memakan lemak haiwan
10. Obes atau gemuk
11. Memakan pil perancang dan HRT (hormon gantian terapi)
12. Terdedah pada sinaran radiasi
Sintom Sintom awal:
1. Pembengkakan dan perubahan pada bentuk dan saiz payudara
2. Aerola tertarik ke dalam
3. Pendarahan atau lelehan luar biasa yang berwarna kuning hijau

Sintom lewat:
1. Sakit pada payudara
2. Sakit pada tulang rusuk
3. Terdapatnya ulser atau kudis
4. Batuk atau sesak nafas
5. Bengkak hati (jaundis)
6. Tulang patah
7. Hilang sedar

SENARAI BACAAN AYAT-AYAT PENAWAR UNTUK PENYAKIT KANSER PAYUDARA:

(Pesakit hendaklah berjumpa saya terlebih dahulu sebelum memulakan amalan-amalan ini.)

A. Amalan Minggu Pertama dan Kedua:

1. Surah Al-Israa' ayat 79 hingga 94, baca 3 kali selepas solat Magrib atau Isyak dan mohon doa kepada Allah s.w.t.
2. Surah Al-Anfaal ayat 41 hingga 46, baca 3 kali selapas solat Subuh atau waktu pagi dan mohon doa kepada Allah s.w.t.

B. Amalan minggu ketiga dan keempat:

1. Surah Al-Anbiyaa' ayat 74 hingga 81, baca 3 kali selepas solat Magrib atau Isyak dan mohon doa kepada Allah s.w.t.
2. Surah ASy-Syura ayat 17 hingga 26, baca 3 kali selapas solat Subuh atau waktu pagi dan mohon doa kepada Allah s.w.t.

C. Amalan minggu kelima dan keenam:

1. Surah Al-Qasas ayat 51 hingga 59, baca 3 kali selepas solat Magrib atau Isyak dan mohon doa kepada Allah s.w.t.
2. Surah An-Naml ayat 56 hingga 70, baca 3 kali selapas solat Subuh atau waktu pagi dan mohon doa kepada Allah s.w.t.

Florida Turunkan IQ

Kajian terbaru terus menyediakan bukti florida yang digunakan dalam bekalan air terawat di negara-negara membangun termasuk  Malaysia lebih banyak mendatangkan keburukan dari faedah.

Dalam kenyataan media kumpulan Fluoride Action Network, penemuan terbaru mendapati florida berkait dengan tahap IQ yang rendah.

Sebanyak 34 kajian dijalankan dan hasilnya melibatkan tahap IQ yang rendah manusia dari segi memori dan pembelajaran, kerosakan otak dan perubahan paras hormon tiroid.

"Penggubal undang-undang yang membenarkan penggunaan florida  dalam bekalan air domestik tanpa mengambil kira penyelidikan yang dijalankan sebenarnya tidak memberikan khidmat dan kebaikan kepada kesihatan orang ramai," kata peguam Fluoride Action Network, Michael Connett.

Sebanyak 8 negara membangun di dunia yang meletakkan florida dalam lebih 50% jumlah bekalan air iaitu Amerika, Israel, Ireland, Malaysia, Singapura dan beberapa lagi.

Florida boleh ditemui secara semulajadi dalam bentuk mineral dari muka bumi tetapi florida yang digunakan untuk bekalan air domestik dan ubat gigi bukanlah florida yang didapati secara semulajadi. Ramai yang membuat tanggapan yang silap dalam hal ini. 

Florida itu berasal produk sampingan industri aluminium dan fertilizer. Ia bahan yang terhasil dari pemprosesan bahan yang lain. Demi mengelakkan dari bahan ini dibebaskan ke atmosfera dan mencemar alam, sebaliknya ia dijual pula kepada pengguna sebagai bahan dalam bekalan air dan ubat gigi. Sekali lagi pengguna membayar dan menyokong industri yang menghasilkan bahan yang merosakkan tubuh badan pengguna.
Kebanyakan negara-negara Eropah menolak penggunaan florida kerana ia didapati tidak selamat. Sebuah komuniti ujian yang dibekalkan di Eropah mendapati tiada apa-apa faedah yang diperolehi sebaliknya ia terbukti ia bertoksik. Belanda mengharamkan penggunaan florida selepas menjalankan kajian selama 23 tahun. Jerman pula tidak menerima alasan walaupun penggunaan dos yang terlalu sedikit, ia boleh mendatangkan risiko kesihatan dalam jangka masa panjang. Sebahagian kawasan di Amerika seperti Los Angeles, New Jersey dan Massachusetts juga tidak menggunakan florida atas desakan orang ramai.

Kalsium florida, natrium florida, hidroflorida, semuanya sama. Kini negara China sudah mengambil bahagian pengeksport florida dan merupakan antara pembekal florida terbesar di dunia.

Memandangkan terdapat begitu banyak penemuan dari kajian florida yang dilakukan hari ini, adalah lebih selamat untuk mengelak dari menggunakan semua produk yang mengandungi florida.

Bagi mereka yang tiada sistem penapisan air di rumah, anda boleh didihkan air selama 15 minit kemudian simpan di dalam peti sejuk selama setengah jam sebelum meminumnya.  Adalah berbaloi untuk berbelanja sebahagian dari wang anda membeli sistem penapisan di rumah kerana anda akan mendapat bekalan air yang selamat sepanjang hayat. 

Jenis Ikan dan Khasiatnya


Ikan mengandungi banyak nutrien penting, termasuk protin dan sepatutnya menjadi sebahagian besar dari diet harian kita. Hanya sebahagian kecil dari ikan (100 gram) menyediakan 1/3 hingga separuh dari keperluan protin seharian. Ikan juga kaya dengan vitamin B12 yang diperlukan oleh sistem tubuh. Ikan berlemak seperti salmon, makerel dan herring juga mengandungi 2 kali ganda kalori dari ikan lain. Tidak seperti lemak tepu dari haiwan, lemak tak tepu dari minyak ikan adalah sangat berfaedah kepada kita. Kajian yang pernah dijalankan menunjukkan seseorang yang makan ikan berminyak sekali seminggu adalah jauh dari risiko penyakit jantung dan strok.

Omega-3
Asid lemak Omega-3 dari minyak ikan diketahui membantu melindungi jantung dan melancarkan perjalanan darah. Ia adalah suatu keperluan (essential) kepada sistem imun kerana tubuh kita tidak menghasilkannya melainkan kita harus mendapatkannya dari sumber luar. Saintis mendapati asid lemak Omega-3 penting untuk kesihatan mata dan otak. Ibu mengandung sepatutnya menjadikan ia sebahagian dari diet mereka. Ia dapat memberi keseimbangan terhadap pemakanan sumber omega-6 yang berlebihan.

Terdapat dalam bentuk kapsul atau cecair, minyak ikan boleh dikategorikan kepada 2 jenis:
1. minyak limpa ikan (seperti kod, salmon, makerel)
2. minyak isi ikan (seperti ikan bilis, sardin).

Istilah minyak limpa ikan kod berasal dari minyak yang diekstrak dari limpa ikan kod. Minyak ikan adalah sumber yang baik untuk vitamin A dan D.

Spesis Ikan Berminyak

Tenggiri (Mackerel)
Kaya dengan omega-3, Vitamin D dan selenium. Mengandungi 2 ~ 3 % asid lemak omega 3. Bagaimanapun, kandungan lemak omega-3 berbeza mengikut musim. Kekurangan selenium boleh mendatangkan penyakit jantung dan kanser.

Salmon
Dikatakan spesis kedua kaya dengan omega 3 selepas Tenggiri.


Todak (Swordfish)
Meskipun mengandungi omega 3, ia tidak dapat menandingi kandungan omega 3 seperti yang terkandung di dalam ikan tenggiri dan salmon.


Ikan Sebelah (Halibut)
Ikan jenis ini juga mengandungi omega 3 yang tinggi, kurang sedikit dari ikan kod. Ada yang memanggil ikan ini ikan sisa nabi di mana ada kisah yang menceritakan bagaimana kedua-dua belah matanya hanya terletak di sebelah kiri, dan warna yang berlainan di antara sisinya, iaitu seorang Nabi pernah memakan ikan ini di sebelah sisinya kemudian mencampakkan ke laut, kemudian ikan ini hidup semula dan jadilah ia ikan separuh badan.

Ikan Kayu/Tongkol (Tuna)
Ikan tuna kaya dengan vitamin D, B12 dan Omega-3. Tetapi tuna bukanlah sumber terbaik untuk asid lemak omega 3 kerana kandungannya terlalu rendah. Tuna di dalam tin tetap kaya dengan vitamin tetapi sumber omega-3 semakin kurang kerana kebanyakan minyak sudah dikeluarkan sebelum ditinkan.

Ikan Kod (Cod)
Banyak faedah yang kita dengar tentang minyak limpa ikan kod. Antaranya menguatkan tulang dan gigi, memelihara kulit, merawat gout dan arthritis dan juga untuk kesihatan jantung.


Ikan Parang (Wolf-Herring)
Mengandungi omega 3, vitamin A dan C, kalsium dan zat besi.


Sardin (Sardine/Pilchard)
Boleh didapati dengan harga yang murah di pasaran tetapi sangat berguna untuk sumber protin, zat besi dan zink termasuk semua jenis nutrien yang terkandung di dalam ikan-ikan yang disebutkan di atas termasuk omega-3. Sardin tergolong dalam kumpulan yang sama dengan salmon dan trout.


Layaran (Sailfish)
Ikan Layaran juga antara sumber terbaik omega3.

Siakap (Barramundi)
Siakap harganya agak mahal tetapi ia tidak kurang juga khasiat protin dan omega-3. Masakan popular yang menyelerakan ialah siakap tiga rasa. Tetapi lebih baik ia tidak digoreng terlebih dahulu demi memelihara khasiatnya.

Kerapu (Grouper)
Juga kaya dengan omega-3 dan protin.

Ikan Bilis (Anchovies)
Ikan yang kecil tapi tidak kurang dari segi khasiatnya. Ia seperti ikan sardin, mempunyai lemak omega-3 dan protin yang berfaedah kepada kanak-kanak dan juga orang dewasa. Ia juga kaya dengan vitamin E dan D, mineral kalsium dan selenium. Ikan kecil seperti ini lebih baik dari ikan besar seperti siakap dan tuna kerana ia mengandungi kurang kadar pencemaran logam berat seperti merkuri, plumbum dan arsenik oleh sebab pencemaran alam. Ini kerana ikan kecil mempunyai jangka hayat yang pendek dan ia kurang risiko pencemaran.

Ikan Mentah
Memakan ikan secara mentah seperti di Jepun iaitu sushi dan sashimi boleh mendatangkan risiko kecacingan kerana ikan adalah antara perumah yang baik untuk cacing-cacing parasit. Ia perlu dimasak untuk memastikan semua cacing dan telurnya mati. Sesudah dimasak, hendaklah dimakan ketika masih panas kerana ikan yang dimasak cepat rosak dan membiakkan bakteria. Masak stim, bakar atau panggang adalah kaedah terbaik untuk memelihara kesihatan.

Khasiat Cuka Epal Organik

Apple cider vinegar atau dikenali sebagai ACV adalah sejenis cuka yang dibuat dari epal dan warnanya dari kuning pucat hingga warna seperti amber. ACV telah digunakan dalam masakan dan perubatan sejak zaman purba lagi. Tulisan Assyria kuno (antara teks tertua di dunia) merujuk ACV untuk merawat sakit telinga. Hippocrates, yang sering digelar 'bapa perubatan moden' juga pernah didapati menetapkan ACV sebagai sebahagian kaedah rawatan. Juga disebut dalam banyak teks zaman dahulu yang menyatakan sebagai penawar untuk berbagai jenis penyakit.

Epal diketahui mempunyai pelbagai faedah kesihatan kepada kita. Ia mengandungi semua nutrien penting, termasuk pektin, vitamin, serat dan mineral. Maka ungkapan yang mengatakan 'sehari makan sebiji epal menjauhkan diri anda dari doktor' memang tepat sekali. Ramai yang menganggap ACV adalah penyediaan terbaik dari buah epal.

ACV organik mengandungi ibu cuka (enzim berlendir yang terapung dalam cuka epal yang tidak dipastur) yang membuatkan cuka kelihatan seperti membeku. Ia adalah hasil pertumbuhan bakteria asetik yang menukarkan alkohol kepada cuka. Kebanyakan ACV yang anda dapati di kedai-kedai dan pasaraya telah dipastur dan ditapis. Ini memusnahkan ibu cuka dan lain-lain nutrien yang membuatkan ia tidak memberi apa-apa khasiat kecuali sebagai penambah perisa masakan. Kebanyakan daripada cuka ini dibuat daripada epal yang ditanam secara komersial menggunakan baja kimia dan racun perosak merbahaya.
Jika terdapat ibu cuka (biasanya pada botol ACV dilabelkan dengan perkataan 'with the Mother'), ia menandakan kehadiran faedah kesihatan yang tidak terkira. Ia menguatkan sistem pertahanan tubuh. Secara khususnya, ia membantu peredaran darah dengan penipisan sel darah dan memerangi kolesterol jahat, menghapuskan deposit mineral yang bertanggungjawab terhadap pembentukan asid urik yang menyebabkan penyakit arthritis.

Apabila diambil setiap pagi, ACV bertindak sebagai anti-bakteria dan anti-kulat. Ia juga boleh digunakan untuk membersihkan luka. Apabila disapu pada kulit, ia boleh melegakan gatal-gatal dan ruam.

ACV juga boleh membantu menurunkan berat badan. Ia membantu mengurangkan lemak berlebihan di dalam sel-sel dan mengurangkan selulit. Adalah sangat baik jika mengamalkan kira-kira dua sudu teh ACV setiap pagi dicampurkan dengan segelas air dan sedikit madu lebah untuk mengurangkan rasa masam cuka. 

Begitulah sebahagian dari manfaat yang didaapati dari ACV. Tetapi untuk mendapat khasiat yang sebenar, selain memastikan ia organik, anda mestilah memilih ACV yang mengandungi 'Mother' atau ibu cuka. Kehadiran bahan berlendir atau ketulan-ketulan yang kelihatan di dalam botol memberitahu pengguna bahawa ia mengandungi ibu cuka. Ia mungkin kelihatan meloyakan tetapi ia tidak memudaratkan jika dimakan. Inilah kaedah detox yang sebenar dan berkesan, bukan dengan merendamkan kaki ke dalam larutan garam dan melalukan arus elektrik.

Gambar menunjukkan perbezaan dua jenis ACV, yang di atas adalah jenis ORGANIK jenama Solana Gold dan BRAGG yang mengandungi 'mother' berwarna pekat manakala di bawah ini BUKAN ORGANIK yang telah ditapis berwarna jernih keemasan.  

Untuk panduan pembaca sekelian, ACV jenama Solana Gold dan BRAGG adalah disyorkan kerana kedua-duanya ACV ORGANIK dan boleh ditemui di rak barangan organik di pasaraya Jusco/AEON di seluruh negara. Harga untuk botol setengah liter hanya RM12.  Kedua-duanya diimport dari AS.

Elakkan dari membeli ACV murah tanpa perkataan 'with the Mother' seperti di bawah.
















............................................................................................

Status ACV Dalam Islam
Dalam dunia Islam, masih terdapat percanggahan pendapat di kalangan ulama tentang status halal haram ACV. Ini kerana ia bermula dari perahan kemudian menjadi alkohol lalu selepas itu berubah pula menjadi cuka. Memandangkan ia TIDAK MEMABUKKAN sebaliknya mendatangkan lebih BANYAK KHASIAT dan FAEDAH kesihatan, kenapa ia perlu diharamkan.  Yang pasti, produk terakhirnya ialah dalam bentuk cuka, bukan lagi dalam keadaan alkohol. Pihak TSM mengambil pendirian dan percaya kepada pendapat ulama yang mengatakan ianya adalah HARUS.

Ada terdapat banyak riwayat Rasulullah berkenaan cuka. Berikut antara riwayat yang pernah diceritakan oleh para sahabat;
"Cuka adalah kemudahan bagi manusia" Diriwayatkan oleh Muslim

"Allah telah meletakkan berkat dalam cuka, ia digunakan oleh para nabi sebelum aku", diriwayatkan oleh Aisyah, Muslim dan Ibnu Maja
Daripada Jabir r.a :
"Bahawa Nabi s.a.w pernah menanyakan lauk kepada keluarganya, lalu mereka menjawab: 'Kami tidak memiliki apa-apa, selain cuka'. Baginda pun lalu minta diambilkan, lalu makan dengan berlauk cuka. Baginda bersabda: 'Sebaik-baik lauk adalah cuka, sebaik-baik lauk adalah cuka! "
(Hadith riwayat Muslim no.2052)
- Artikel oleh The Secret Medicines